Saturday, October 25, 2008

Azraai pertikai mutu pengadilan

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
sukan@kosmo.com.my



SITUASI tegang menyelubungi Stadium Darul Aman, Alor Star malam tadi.
Sekalipun Kedah mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Maldives, Victory SC pada aksi pembukaan Piala AFC, keputusan pengadil perlawanan terus menjadi bualan hangat di kalangan peminat setia Hijau Kuning.
Perlawanan yang disaksikan kira-kira 25,000 penonton setia Kedah itu berlangsung dalam suasana agak tegang apabila banyak keputusan pengadil mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan pemain dan jurulatih kedua-dua pasukan.
Malah pengendali Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah turut diperintah meninggalkan padang pada minit ke-67 selepas memprotes keputusan pengadil dari Jordan, Al Ghafary Naser.
Penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil juga bertindak menyerbu masuk ke kawasan padang ketika tempoh perlawanan sebenar berbaki kira-kira lima minit untuk ditamatkan.
Keadaan itu menyebabkan perlawanan tergendala selama kira-kira tiga minit sebelum disambung semula apabila situasi tersebut dapat dikawal oleh anggota keselamatan.
Mengulas mengenai insiden itu, Azraai menyifatkan mutu pengadilan amat rendah dan tidak sepatutnya berlaku dalam kejohanan peringkat berkenaan.
"Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, inilah kali pertama saya diarah keluar padang oleh mutu pengadilan yang dianggap tidak profesional.
"Begitupun saya tetap berpuas hati dengan tiga mata yang dikutip pada perlawanan ini," katanya.
Terdahulu, jaringan tunggal Badrol Bakhtiar sudah cukup membolehkan Kedah meraih tiga mata berharga di Alor Star malam tadi.

0 comments: